100 Years Stamp Industry 2016



Setem Khas Ulang Tahun Ke-100 Industri Sawit

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan siri setem bertemakan minyak sawit bersempena ulang tahun ke-100 industri minyak sawit di Malaysia pada Khamis ini (18 Mei).

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Diyana Lean Abdullah berkata siri setem bertajuk ‘100 Tahun Industri Minyak Sawit’ itu terdiri daripada 250,000 keping setem berharga 65 sen dan 85 sen, selain 200,000 keping setem RM1.05, iaitu harga temasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan.

“Setem ini akan dilancarkan di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya, Khamis ini,” katanya pada sesi pratonton media siri setem berkenaan di Ibu Pejabat Pos Malaysia, di sini hari ini.

Menurutnya koleksi setem itu mengandungi tiga reka bentuk setem berbeza yang menggambarkan pengumpulan dan pengangkutan buah sawit secara tradisional di era permulaan penanaman sawit (bagi setem 65 sen) dan kemajuan teknologi serta amalan mekanisasi ladang meningkatkan kecekapan penuaian dan pengumpulan buah sawit di ladang (setem 85 sen).

Beliau berkata setem RM1.05 pula memaparkan era minyak sawit dieksport ke lebih 150 buah negara bagi penghasilan produk makanan dan bukan makanan,

Dalam pada itu, Diyana berkata ilustrasi gugusan buah kelapa sawit dijadikan lembaran mini bagi siri setem kali ini dengan harga RM3.20.

Produk filateli lain pula iaitu sampul surat hari pertama (FDC), folder sahaja dan satu set lengkap bersama folder, masing-masing berharga 55 sen, RM6.35 dan RM67.20, katanya.

“Lembaran mini akan dikeluarkan sebanyak 25,000 helai, sampul surat hari pertama sebanyak 32,000 keping dan set folder 2,600 set sahaja,” katanya.

Selain itu, beliau berkata tanda pembatalan yang hanya boleh didapati pada hari pertama pengeluaran siri setem itu turut menampilkan ilustrasi gugusan buah sawit.

– BERNAMA

Maklumat lanjut sila hubungi : pshoppe@mpob.gov.my